Dulu saya pernah post pasal Kelebihan Memaafkan Orang. Sekarang ni marilah kita ambil iktibar daripada salah satu kisah yang saya petik daripada Majalah GenQ mengenai sikap pemaaf insan mulia yakni Nabi Muhammad s.a.w.
Pada suatu hari, ketika Baginda sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang. Wanita itu tahu bahawa Rasulullah amat gemar makan kambing panggang terutama di bahagian paha kanan bahagian depan. Wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu dan dilebihkan di bahagian kegemaran Rasulullah.
Melihat hidangan itu, Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan begitu berselera. Baginda makan bersama seorang sahabat yang bernama Bisyir bin Barra bin Ma’rur. Baginda dapat mengesan racun yang ada sewaktu sedang mengunyah anggota kambing tersebut lalu meluahkan kembali daging yang sedang dikunyah.
Malangnya Bisyir bin Barra bin Ma’rur telah meninggal dunia. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut. Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung:
“Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk berkenaan perkara ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi.”
Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang dan memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun dia cuba membunuh Baginda dan mengakibatkan kematian seorang sahabat.
Alangkah ajaibnya sikap pemaaf Rasulullah s.a.w. Bisakah kita yang berada di akhir zaman selaku umat Baginda bersikap semulia ini? Muhasabahlah diri masing-masing...
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen yang berhikmah dan baik. Setiap komen anda amat dihargai:)